TERBANG BERSAMA MDB (SIRI 78)
Dubai (6)
Tempoh sewaan setahun rumah di Spring 9 sudah hampir matang. Makthar pula mendapat tawaran bekerja di Brunei bagi menubuhkan sebuah institut kewangan Islam baru. Bisnes masih teruk di Dubai. Syarikat perumahan terbesar di Dubai pun koyak. Dari beribu-ribu pekerja, hanya tinggal berpuluh sahaja. Sedih dengan kehilangan Makhtar. Rungsing dengan pasaran yang masih merundum.
Saya telah pindah ke rumah baru. Kali ini saya beli sebuah villa di Spring 7. Sama sahaja designnya. Dekat dengan pusat membeli belah komuniti & masjid. Saya nak jimatkan kos sewaan rumah yang mahal.
Selepas beberapa bulan ketiadaan Makhtar, saya dapat Mark Smyth, seorang rakan dari Chicago, USA bagi bekerja dengan saya. Saya masih ingin mencuba dalam kesusahan. Kami teruskan usaha. Sudah mendapat beberapa peluang baru. Tapi saya masih lemas. Bila lemas, saya terpaksa cari jalan baru bagi menghasilkan peluang bagi bernafas sikit. Alhamdulillah, dapat satu projek besar di London yang berterusan royaltinya sampai sekarang. Nanti saya cerita dalam buku Kembara Kerjaya.
Anak2 saya semua sudah belajar. Awfa yang paling bersemangat. Prestasinya pun menarik. Atiqie sibuk dengan O Level. Saya kena bantu dia lulus kertas Bahasa Arab. Saya gunakan cara baru mengajar bahasa Arab kepada dia. Berjaya. Nanti mungkin boleh dikomersilkan metod ini. Izzatie ingin sambung belajar di Australia. Tiba2 terdetilk di hati saya nak berhijrah ke Australia pula.
Di musim panas tahun kedua, semua bersetuju untuk kembali ke Malaysia sambil merancang nak berhijrah ke Australia. Sebelum pulang ke Malaysia, kami sekeluarga membuat umrah di Mekah. Indah sekali.
Selepas semua keluarga pulang ke Malaysia, rumah di Spring 7 dijadikan rumah ofis. Saya & Mark Smyth tinggal di sini. Setahun selepas itu, saya terpaksa menjual rumah ini kerana tidak cukup wang bagi membiayai renovasi ofis baru di DIFC sekitar tahun 2013. Ofis ini kekal sehingga sekarang. Saya mempunyai 8 pekerja di Dubai.
Dubai adalah mata rantai kehidupan penting bagi saya. Pertama kali saya belajar senyuman dalam kepayahan. Semuanya mencabar. Tiada hasil pendapatan. Namun, kehidupan & bisnes kena berterusan.
MDB